Aceh setuju batal guna bendera GAM

Astro Awani
November 28, 2014 11:37 MYT
Pegawai polis memerhati penyokong melayangkan bendera bulan sabit dan bintang semasa sebuah perhimpunan yang diadakan di Banda Aceh, Indonesia pada tahun 2013. - EPA/Hotli Simanjuntak
Kerajaan di Aceh setuju membatalkan rancangannya untuk menggunakan bendera kumpulan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang kini sudah dibubarkan sebagai bendera rasminya selepas pemerintah pusat di Jakarta berikrar membenarkannya mengawal satu blok minyak dan gas, lapor The Jakarta Globe.
"Ada rundingan melalui Kementerian Penyelaras Ekonomi. Kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan," kata Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Tedjo Edhy Purdijatno seperti dipetik oleh akhbar itu.
Akhbar itu juga memetik kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Galian, Sudirman Said berkata Jakarta telah setuju untuk memberi hak kepada Aceh untuk mengawal blok Pase.
Blok itu akan diselia oleh Perusahaan Daerah Pembangunan Aceh, sebuah syarikat milik pemerintah wilayah berkenaan.
Sudirman juga memberitahu draf dekri penyerahan hak pengurusan blok itu sedang digubal dan akan siap tidak lama lagi.
Jakarta sebelum ini mengkritik langkah Aceh menggunakan bendera GAM sebagai bendera rasmi wilayah itu dengan alasan ia mencabul perjanjian damai antara GAM dengan pemerintah pusat.
Gabenor Aceh, Zaini Abdullah yang juga bekas komander GAM bagaimanapun menegaskan perjanjian damai yang dirangka oleh Finland itu tidak menyebut tentang bendera Aceh.
Aceh mendakwa bendera bulan sabit dan bintang dengan latar belakang merah itu telah digunakan lama sebelum wujudnya gerakan pemisah. Ia dikatakan bendera rasmi kerajaan lama Aceh yang pernah berkuasa di Nusantara.
Jakarta bagaimanapun menegaskan bendera itu telah diharamkan sama seperti mana ia melarang penggunaan bendera Republik Maluku Selatan dan Pertubuhan Papua Merdeka.
Rundingan antara Aceh dengan kerajaan pusat di Jakarta dilakukan oleh Naib Presiden Jusuf Kalla sejak minggu lalu. Jusuf sebelum ini terlibat dalam rundingan damai pada 2005.
#Aceh #batal #bendera #GAM #kerajaan #kumpulan pemisah #Rancangan #Sudirman Said
;