Aceh bakar timbunan ganja 800kg, usaha banteras bahan terlarang dipergiat
Agensi
Disember 27, 2018 07:36 MYT
Disember 27, 2018 07:36 MYT
Ketika Thailand baru saja mengumumkan tentang kesediaan membenarkan penggunaan ganja dalam perubatan, pihak penguatkuasa di Banda Aceh meneruskan usaha membanteras pergerakan bahan terlarang itu dalam pasaran.
Pada Khamis, ganja yang jumlahnya seberat 800 kilogram (kg) ditimbun seperti bukit, dibakar oleh pihak polis Indonesia. Selain itu, sejumlah 19kg metamfetamin yang dirampas sepanjang tahun ini turut dimusnahkan.
Lima suspek berpakaian seragam penjara berwarna jingga, yang terlibat dalam pemprosesan dan pengedaran dadah tersebut, juga dipamerkan kepada umum dalam acara pemusnahan barang rampasan berkenaan.
Sama seperti kopi, penanaman pokok ganja dikatakan mudah ditemui di Aceh sebelum ini.
Pada Oktober lalu, pihak berkuasa telah menyerbu beberapa buah ladang ganja di sekitar Aceh yang jumlahnya mencapai keluasan sehingga 5 hektar. Ladang-ladang itu dimusnahkan dengan cara mencabut pokok-pokok ganja itu dan dibakar.
Sepanjang tahun 2018 sja, puluhan hekjtar ladang ganja sudah diserbu dan dimusnahkan.
Aceh merupakan wilayah Indonesia yang terkenal dengan undang-undang syariah yang ketat. Kesalahan seperti berjudi, meminum arak, zina, menjalin hubungan songsang dan perbuatan maksiat lain ditegah sepenuhnya manakala hukuman sebat yang dilakukan secara terbuka lazim dijalankan.
Indonesia pula memang terkenal sebagai salah satu negara yang mengenakan hukuman berat ke atas pesalah dadah.
Bulan ini saja, lima warga asing ditahan di Bali kerana mengedar dadah, dengan masing-masing warga Jerman dan Peru berdepan hukuman mati.