Acara penghormatan terakhir Ismail Haniyeh sedang berlangsung di Tehran
Bernama
Ogos 1, 2024 15:00 MYT
Ogos 1, 2024 15:00 MYT
TEHRAN: Acara penghormatan terakhir buat Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh oleh rejim Zionis sedang berlangsung di Tehran pada Khamis, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).
Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei akan memimpin solat jenazah.
Pejabat Pemimpin Tertinggi itu mengumumkan bahawa solat jenazah akan diadakan di perkarangan Universiti Tehran sebelum menuju Dataran Azadi.
Ismail dan seorang pengawal peribadinya dibunuh dalam serangan udara yang menyasarkan tempat penginapannya di utara Tehran selepas menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.
Iran mengisytiharkan tiga hari berkabung.
"Rejim Zionis akan berdepan hukuman yang keras atas tindakan ini dan kami menganggap adalah kewajipan kami untuk membalas dendam kerana beliau syahid di wilayah Iran," kata Ayatollah Khamenei dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA