Acara jubli platinum Ratu Elizabeth II disambut meriah

Astro Awani
Jun 5, 2022 09:00 MYT
Konsert Jubli Platinum berlangsung di hadapan Istana Buckingham meriah dengan penampilan istimewa Putera Charles dan Camilla, Duchess of Cornwall, di atas pentas. -AP
LONDON: Acara sambutan jubli platinum berlangsung meriah di hadapan Istana Buckingham pada tengah malam Sabtu.
Rakyat Britain tidak melepaskan peluang meraikan sambutan yang diadakan sejak Jumaat sekali gus mendorong kehadiran ratusan ribu warganya bagi meraikan acara gilang-gemilang tersebut.
Antara acara istimewa ialah konsert khas yang menampilkan penyanyi antarabangsa tersohor antaranya Diana Ross, Andrea Bocelli, Rod Stewart, Queen dan Duran Duran.
Tambah istimewa apabila Putera Charles dan Camilla, Duchess of Cornwall turut membuat penampilan khas di atas pentas.
Sambutan jubli platinum ini diadakan sebagai meraikan 70 tahun Ratu Elizabeth II di atas takhta.
Beberapa acara istimewa dianjur sepanjang cuti umum empat hari.
Sebelum ini, tahap kesihatan Ratu Elizabeth telah menghalangnya daripada membuat beberapa penampilan umum termasuk tidak hadir pada pembukaan Parlimen UK pada 10 Mei lalu.
Namun kehadiran permaisuri pada pembukaan laluan Kereta Api Elizabeth, London baru-baru ini telah menggembirakan ramai warganya.
Ratu Elizabeth yang kini berusia 96 tahun menaiki takhta pada 6 Februari 1952 selepas kematian bapa tercinta Raja George VI.
Baginda dinobatkan sebagai permaisuri setahun kemudian pada 2 Jun 1953.
Satu lagi tarikh penting untuk Ratu Elizabeth ialah 9 September 2015, tarikh baginda memintas Ratu Victoria yang memerintah selama hampir 64 tahun.
Ratu Victoria meraikan ulang tahun ke-60 pemerintahan pada 22 Jun 1897, yang merupakan perayaan jubli berlian pertama dalam sejarah institusi beraja Britain.
#Ratu Elizabeth II #jubli platinum #Raja George VI #Ratu Victoria
;