Abu Sayyaf dalang di sebalik serangan di Davao - Datuk Bandar
Agensi
September 3, 2016 13:22 MYT
September 3, 2016 13:22 MYT
Kumpulan militan Abu Sayyaf dikatakan menjadi dalang di sebalik letupan di pasar malam yang meragut 14 nyawa di Davao pada Jumaat kata Datuk Bandar itu Sarah Duterte.
“Pejabat Presiden memberikan mesej dan mengesahkan ia tindakan kumpulan Abu Sayyaf. Dari sudut pemerintah bandar ini, kami sedang melihat aspek pembabitan kumpulan itu,” kata Sarah yang juga anak perempuan presiden Filipina Rodrigo Duterte, kepada CNN Filipina.
Setiausaha Pertahanan negara itu, Delfin Lorenzana turut mengeluarkan kenyataan yang berkata pihaknya percaya kumpulan itu yang sejak tahun-tahun kebelakangan ini menyatakan sokongan kepada kumpulan Daish, bertanggungjawab.
“Ketika tiada pihak yang tampil mengaku melakukannya, kami hanya boleh beranggapan tindakan ini dilakukan oleh kumpulan Abu Sayyaf yang berhadapan tentangan sengit di Jolo sejak beberapa minggu lalu,” kata Lorenzana.
Presiden Duterte minggu lalu telah mengarahkan agar serangan tentera besar-besaran dilancarkan ke atas kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo, kira-kira 900 kilometer dari Davao.
Tentangan sengit menyaksikan 15 anggota tentera terbunuh pada Isnin.