Abu Bakar Bashir dibebaskan Jumaat ini

Agensi
Januari 4, 2021 17:40 MYT
Abu Bakar Bashir yang dijatuhkan hukuman 15 tahun selepas didapati bersalah kerana didakwa mendalangi serangan bom di Bali pada 2002 akan dibebaskan pada 8 Januari ini. Tempoh penjara ke atas beliau dikurangkan selama 55 bulan. - Gambar fail
JAKARTA: Guru agama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir, 82, yang dijatuhkan hukuman 15 tahun pada 2011 selepas didapati bersalah kerana didakwa mendalangi serangan bom di Bali akan dibebaskan pada 8 Januari (Jumaat) ini.
Hukuman penjara ke atas pemimpin tertinggi Jemaah Islamiah (JI) itu dikurangkan selama 55 bulan.
Agensi berita Antara yang memetik Ketua Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Jawa Barat, Imam Suyudi berkata, pembebasan Abu Bakar adalah menepati segala prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Beliau (Abu Bakar Bashir) sudah menjalani hukuman secara baik dan mengikuti ketentuan dan prosedur, pelaksanaan pembinaan keamanan di penjara Gunung Sindur dan hari Jumaat akan kami bebaskan beliau,” kata Suyudi di Bandung pada Isnin.
Menjelang pembebasannya, Suyudi berkata, pihaknya akan memastikan pengasas Pondok Pesantren Al Mumin itu berada dalam keadaan sihat.
"Saat ini beliau sihat dan segar, saya berharap beliau pada Jumaat ini juga akan sihat dan kembali ke keluarga beliau," kata beliau lagi.
Abu Bakar dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun oleh Pengadilan Negeri Jakarta Selatan pada 2011 selepas didapati bersalah atas peranannya dalam mewujudkan kem latihan para-militari di Aceh yang ahlinya didakwa merancang membunuh presiden dan menggangu ekonomi Indonesia.
Beliau juga didakwa terlibat sebagai perancang dalam pengeboman Bali pada tahun 2002 yang membunuh 202 orang.
#Abu Bakar Bashir #guru agama radikal #Indonesia #Jemaah Islamiah #serangan bom Bali #hukuman penjara
;