Abe Shinzo umum RM10.53b untuk perangi COVID-19
Isabelle Leong
Februari 29, 2020 07:59 MYT
Februari 29, 2020 07:59 MYT
Perdana Menteri Jepun Abe Shinzo mengumumkan pakej ekonomi kecemasan bernilai RM10.53 bilion (270 bilion yen) selain meminta sokongan orang ramai terhadap usaha kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19.
Abe berkata, Jepun kini dalam keadaan kritikal untuk menentukan sama ada negara tersebut dapat mengawal penularan wabak tersebut menjelang Olimpik Tokyo musim panas ini.
Beliau juga memaklumkan bahawa pakej kecemasan tersebut merangkumi sokongan kewangan kepada ibu bapa dan majikan mereka yang terjejas oleh pengumuman penutupan sekolah sehingga persekolahan bermula pada penghujung Mac.
Katanya, langkah tersebut penting bagi merendahkan risiko pelajar dan guru dijangkiti wabak tersebut.
"Dana kecemasan sebanyak 270 bilion yen masih tersedia.
"Kami akan menggunakannya untuk menyatukan dan melancarkan langkah-langkah tindak balas kecemasan tahap kedua.
"Kami akan menubuhkan program bantuan untuk ibu bapa yang perlu mengambil cuti disebabkan penutupan sementara sekolah, mengukuhkan sistem perubatan dan mewujudkan pelan konkrit sokongan untuk perniagaan kecil dan sederhana," katanya pada satu sidang media pada Sabtu.
Abe menyeru syarikat untuk memahami keperluan pekerja yang mungkin berdepan masalah mendapatkan bantuan menjaga anak mereka dalam tempoh masa penutupan sekolah ini.
Setakat ini, negara matahari terbit itu merekodkan sekurang-kurangnya 940 kes positif COVID-19.
Angka ini termasuk 705 orang daripada kapal persiaran Diamond Princess yang dikuarantin di Yokohama.
Tindakan kuarantin tersebut menerima kritikan kerana dikatakan tidak berkesan.
Ia kerana, beberapa daripada penumpang yang disahkan negatif COVID-19 dan dibenarkan meninggalkan kapal itu selepas tempoh kuarantin 14 hari, telah dikesan positif.
Kerajaan Abe dikritik kerana didakwa bertindak lambat pada tahap awal penularan wabak itu dan membenarkan puluhan ribu pelancong China memasuki Jepun sebelum mengenakan larangan perjalanan.
#Abe Shinzo
#China
#COVID-19
#Diamond Princess
#ekonomi
#Jepun
#koronavirus
#Olimpik Tokyo
#pakej kecemasan
#pelancong
#penularan
#Sukan Olimpik
#wabak