ABC News dan George Stephanopoulos telah mencapai penyelesaian dengan Donald Trump berhubung tuntutan fitnah yang difailkan oleh Presiden terpilih Amerika Syarikat itu.

Menurut laporan CNN, rangkaian berita itu akan membayar sebanyak AS$15 juta kepada sebuah badan kebajikan dan mengeluarkan permohonan maaf. 

Sumbangan akan diberikan kepada sebuah "yayasan presiden dan muzium yang akan ditubuhkan oleh atau untuk pihak plaintif".

Selain itu, rangkaian itu turut membayar AS$1 juta sebagai bayaran yuran guaman Trump. 

Tuntutan tersebut difailkan di Mahkamah Persekutuan Florida awal tahun ini, di mana Trump mendakwa Stephanopoulos dan ABC News memfitnahnya.

Ini susulan kenyataan Stephanopoulos yang menyebut sebanyak 10 kali dalam temu bual kontroversi bersama wakil Republikan Carolina Selatan, Nancy Mace, bahawa juri mendapati Trump telah merogol E. Jean Carroll. 

Untuk rekod, Carroll sebelum ini mendakwa Trump merogolnya di sebuah pusat beli-belah pada pertengahan 1990-an.

Trump kemudian menafikan dakwaan itu dan semua tuduhan Carroll. 

Namun pada 2023, juri mendapati Trump bersalah atas tuduhan serangan seksual terhadap Carroll.

Bagaimanapun tiada bukti kukuh berkaitan dakwaan kesalahan Trump ke atas Carroll.

Carroll kemudian diberi pampasan sebanyak AS$5 juta atas dakwaannya berkaitan keganasan dan fitnah dilakukan Trump.

Pada Januari lalu, Carroll menerima tambahan pampasan sebanyak AS$83.3 juta sebagai ganti rugi susulan kenyataan Trump yang didapati memfitnah dan menafikan dakwaan Carroll. 

Meskipun juri mendapati Carroll gagal membuktikan dakwaannya ke atas Trump, seorang hakim pada Ogos 2023, ketika menolak tuntutan balas Trump terhadap Carroll, memutuskan bahawa dakwaan Trump merogol Carroll adalah "secara substantif benar" dalam maksud umum, walaupun tidak memenuhi definisi undang-undang negeri New York. 

Dalam tuntutan terhadap ABC News pada Mac, Trump mendakwa kenyataan Stephanopoulos adalah palsu, disengajakan, berniat jahat, dan bertujuan mencemarkan reputasinya. 

Kes ini diteruskan pada Julai selepas hakim menolak permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

Hakim menyatakan bahawa perbezaan definisi dalam kes ini cukup penting untuk dibicarakan.

Beliau menambah, isu utama kes ini ialah sama ada wajar atau tidak untuk mengatakan bahawa "juri mendapati Trump bertanggungjawab atas tuduhan rogol" walaupun keputusan juri sebelum ini jelas menyatakan beliau tidak bersalah atas tuduhan rogol.