ABBA mangsa baharu kempen politik Donald Trump

Astro Awani
September 1, 2024 08:40 MYT
Lagu-lagu popular dan video klip ABBA seperti 'The Winner Takes It All', 'Money, Money, Money' dan 'Dancing Queen' dimainkan pada kempen Trump. - Foto fail/REUTERS
KUMPULAN muzik ABBA menjadi mangsa baharu kempen calon presiden Parti Republikan Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengambil kesempatan menggunakan lagu dan video kumpulan pop terkenal Sweden untuk tujuan politik.
Justeru, syarikat rakaman mewakili kumpulan tersebut, Universal Music mengarahkan pasukan kempen Trump supaya tidak lagi menggunakan lagu serta video mereka untuk berpolitik.
Dalam kenyataannya ia menyebut, pihaknya bersama anggota ABBA mendapati terdapat lagu dan video kumpulan itu digunakan semasa kempen Trump.
Universal Music tegaskan, mereka melarang sekeras-kerasnya penggunaan harta intelek di bawah milik mereka.
Akhbar harian Sweden, Svenska Dagbladet melaporkan, lagu-lagu popular dan video klip ABBA seperti 'The Winner Takes It All', 'Money, Money, Money' dan 'Dancing Queen' dimainkan pada kempen Trump dan calon gandingannya, JD Vance di Minnesota pada 27 Julai lalu.
Syarikat rakaman Universal Music tidak pernah memberikan kebenaran kepada kempen Trump untuk menggunakan lagu dan video ABBA.
Anggota kumpulan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut namun menyokong tindakan syarikat rakaman mereka.
Selain ABBA, sebelum ini antaranya membabitkan penyanyi seperti Taylor Swift, Celine Dion, Tom Petty, Adele dan kumpulan rock R.E.M juga menjadi mangsa kempen politik Trump setelah lagu mereka digunakan untuk tujuan kempen Pilihan Raya Presiden AS.
Trump adalah calon presiden Republikan, bertanding untuk menduduki White House dalam pilihan raya yang akan diadakan pada 5 November ini.
Beliau akan disaingi Naib Presiden Kamala Harris yang juga dipilih oleh perwakilan Parti Demokrat sebagai calon presiden selepas Joe Biden menarik diri daripada mempertahankan jawatan untuk penggal pemerintahan sehingga 2028.
#ABBA #Donald Trump #kempen #pilihan raya presiden
;