Abah-abah dicipta buat ikan emas, ibarat mengguna kerusi roda

Agensi
Julai 20, 2019 08:14 MYT
Pereka fesyen cipta abah-abah (harness) pada ikan emas yang sukar untuk berenang bagi membolehkan ia terapung dan tidak tenggelam di dasar akuarium. - Sumber YouTube
Seorang pereka fesyen mencipta abah-abah (harness) khusus untuk ikan emas peliharaannya agar terus hidup selepas berdepan kesukaran untuk berenang menyebabkan haiwan itu terapung dalam keadaan terbalik atau tenggelam ke dasar akuarium.
Henry Kim yang memiliki kecenderungan gemar menyimpan akuarium dan memelihara lebih 20 ekor ikan emas di dalam tiga akuarium berbeza di rumahnya di Seoul, Korea Selatan.
Selepas melalui detik-detik kehilangan ikan emas dalam jumlah yang banyak akibat gangguan sama, Henry tekad menggunakan komponen plastik untuk mencipta sebuah alat agar ikan-ikannya boleh terapung dan menggelarkannya ‘kerusi roda’.
Lelaki berusia 32 tahun itu memberitahu kejayaannya membina alat itu hasil kajian yang dibuat di Google dan pelbagai tutorial.
“Gangguan itu berlaku disebabkan banyak faktor. Antaranya air yang tidak bersih dan ikan yang menyedut terlalu banyak oksigen. Lazimnya ia akan terjadi pada ikan yang diimport ke Korea dari Thailand atau China.
“Ikan-ikan yang mempunyai masalah sedemikian biasanya hanya boleh hidup selama lima bulan, namun terima kasih kepada alat ini kerana ikan saya bertahan lebih daripada tempoh itu,” katanya.
#berenang #ikan emas #Korea Selatan
;