95 maut dalam banjir dahsyat di Sepanyol

Bernama
Oktober 31, 2024 15:00 MYT
Sekurang-kurangnya 92 orang terkorban di wilayah Valencia, dua di Castile-La Mancha dan mangsa ketiga di Malaga. - Gambar/ Reuters
OVIEDO (Sepanyol): Angka kematian akibat banjir dahsyat di timur Sepanyol meningkat kepada 95 orang, menurut penyiar awam negara itu RTVE, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Anadolu lewat Rabu.
Sekurang-kurangnya 92 orang terkorban di wilayah Valencia, dua di Castile-La Mancha dan mangsa ketiga di Malaga. Di Paiporta, antara bandar yang paling teruk terjejas, datuk bandar memaklumkan "berpuluh-puluh kematian" dilaporkan akibat ribut itu.
Pihak berkuasa masih belum memberikan anggaran jumlah orang yang masih hilang.
Angka kematian terbaru itu diperoleh berikutan bencana banjir kilat yang dahsyat berlaku pada sebelah malam, dikaitkan dengan ribut terburuk abad ini, ia setanding dengan dua ribut teruk pada 1980-an, menurut agensi meteorologi Sepanyol.
Perdana Menteri Pedro Sanchez menggesa orang ramai untuk terus berwaspada ketika ribut terus membadai Semenanjung Iberia, memberi amaran bahawa cuaca "masih mendatangkan malapetaka" dan darurat belum berakhir.
Pada petang Rabu, kerajaan Catalonia mengaktifkan amaran merah di sebahagian wilayah Barcelona. Agensi meteorologi Sepanyol juga mengaktifkan amaran merah untuk kawasan di Cadiz.
Sanchez menyeru perpaduan dan solidariti, serta menasihati penduduk di kawasan terjejas, termasuk Valencia, Andalusia dan Extremadura untuk mengelakkan perjalanan berhampiran gaung dan tebing sungai serta mematuhi nasihat kecemasan.
Beliau memberi jaminan sokongan penuh, dengan menyatakan bahawa semua sumber negara akan disediakan dan jika perlu, bantuan daripada EU akan diberikan.
Kerajaan Jerman juga menawarkan sokongan kepada Madrid, manakala Presiden Suruhanjaya EU Ursula von der Leyen menyampaikan ucapan takziah serta mengaktifkan sokongan satelit dan menggerakkan sumber Perlindungan Awam EU jika diperlukan.
"Apa yang kita lihat di Sepanyol amat menyedihkan. Pemikiran saya bersama mangsa, keluarga mereka, dan pasukan penyelamat," tulis von der Leyen di platform X.
Bercakap kepada pemberita di Kepulauan Canary, Raja Sepanyol Felipe meluahkan kebimbangan mengenai kemusnahan meluas dan cabaran yang masih berterusan.
Baginda menyatakan bahawa akses ke beberapa kawasan masih sukar, menyebabkan skala penuh kerosakan dan potensi korban belum diketahui.
Baginda juga menzahirkan rasa lega kerana semua sumber yang ada telah disediakan untuk pihak berkuasa dan perkhidmatan kecemasan serta menekankan pentingnya membenarkan mereka bekerja dengan cara yang diselaraskan.
Pada petang Rabu, kerajaan Sepanyol mengumumkan akan mengisytiharkan kawasan yang terjejas sebagai "zon bencana."
Ribut itu bermula pada Selasa, membawa taburan hujan lebat menyamai kuantiti setahun dalam tempoh beberapa jam, menyebabkan sungai-sungai melimpah dengan cepat dan malah menghasilkan puting beliung.
Jalan-jalan dan bandar mula dinaiki air, mendorong pihak berkuasa untuk menghentikan perkhidmatan kereta api di sekitar Valencia, membatalkan penerbangan dan akhirnya meminta penduduk untuk kekal di dalam rumah pada Selasa malam.
Apabila kerajaan mengeluarkan amaran kecemasan yang menasihatkan orang ramai untuk tinggal di dalam rumah atau mencari tempat tinggi, sebahagian besar kerosakan sudah pun berlaku.
Ketika air sungai melimpah melalui bandar, jalan dan kawasan kejiranan, ratusan orang terperangkap di atas bumbung rumah, dalam kenderaan, di pusat beli-belah atau kawasan perindustrian - ada yang berpaut pada pokok.
Penduduk yang terdesak beralih ke media sosial untuk meminta pertolongan setelah talian kecemasan tidak dapat diakses akibat bangunan yang ditenggelami air dan jumlah panggilan yang terlalu banyak.
Di Valencia, operasi menyelamat berterusan hingga petang Rabu. Kementerian Pertahanan mengerahkan 1,000 anggota angkatan tentera untuk membantu usaha itu.
"Kami tidak dapat akses kepada mangsa ketika mereka amat memerlukan," kata ketua bomba wilayah Valencia, Jose Miguel Basset, kepada penyiar Sepanyol RTVE pada pagi Rabu. "Dan kami masih belum dapat mengakses semua tempat yang memerlukan bantuan penyelamatan."
Kerajaan Valencia telah membuka talian khusus untuk melaporkan orang hilang.
Penduduk masih dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang perjalanan di lebuh raya, dan kebanyakan sekolah di wilayah autonomi tersebut kekal ditutup.
Sistem ribut itu terus bergerak melintasi Semenanjung Iberia, dengan sebahagian besar timur laut dan barat daya Sepanyol dalam amaran cuaca untuk hujan lebat.
-- BERNAMA
#sepanyol #banjir besar #bencana alam #angka kematian
;