91 warga Indonesia dibawa keluar dari Syria, selamat pulang ke tanah air
Bernama
Disember 21, 2024 04:30 MYT
Disember 21, 2024 04:30 MYT
JAKARTA: Seramai 91 warga Indonesia, termasuk pekerja migran dan pelajar, telah selamat pulang ke tanah air selepas dibawa keluar dari Syria, menurut Kementerian Luar.
Mereka yang dibawa pulang berasal dari pelbagai wilayah seperti Aceh, Sumatera Utara, Riau, Jambi, Jakarta, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, dan Nusa Tenggara Barat, tiba di sini menerusi tiga penerbangan pada Jumaat dan Sabtu.
Menurut kementerian itu, mereka terlebih dahulu dibawa melalui jalan darat dari Damsyik ke Beirut dengan pengiring diplomat daripada Kedutaan Indonesia sebelum menaiki penerbangan pulang ke tanah air.
"Pemindahan terbaharu ini, yang merupakan kali keempat, menjadikan jumlah keseluruhan warga Indonesia yang dibawa pulang sejak peralihan kerajaan di Syria kepada 156 orang," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Usaha masih diteruskan untuk mengesan dan mendokumentasikan warga Indonesia yang mungkin masih berada di Syria tetapi belum mendaftar dengan pihak berkuasa.
Kementerian menggesa warga Indonesia yang masih berada di Syria untuk memantau perkembangan keselamatan, mengelakkan penglibatan dalam aktiviti politik yang tidak perlu, dan sentiasa berhubung dengan kedutaan di Damsyik.
-- BERNAMA