91 korban nahas Hercules ditemui
Astro Awani
Jun 30, 2015 07:12 MYT
Jun 30, 2015 07:12 MYT
Setakat jam 11 malam tadi, sejumlah 91 mangsa korban pesawat tentera Hercules C-130 yang terhempas pada Selasa telah ditemui.
Daripada jumlah itu, sebanyak 23 jenazah telah dikenal pasti melalui teg nama pada pakaian mangsa.
Kesemua mangsa yang ditemui dibawa ke Hospital Adam Malik Medan, lapor portal kompas.com.
Pesawat yang membawa 113 penumpang itu terhempas pada jam 11:38 pagi dipercayai kerana mengalami kerosakan pada enjin.
Menurut Kepala Staf Angkatan Udara (KSAU) Marsekal Tentera Nasional Indonesia (TNI) Agus Supriyatna, jangkaan itu bagaimanapun hanya laporan awal.
“Jangkaan kita mesin pada pesawat rosak berdasarkan permintaan juruterbang untuk berpatah balik. Namun, kemalangan sudah berlaku sebelum juruterbang sempat berbuat demikian,” kata Agus kepada Kompas.
Daripada 113 mangsa, 12 daripadanya adalah anggota tentera iaitu empat pegawai termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang manakala lapan lagi adalah juruteknik tentera.
Pesawat itu juga membawa penumpang awam dan kebanyakan mereka dipercayai keluarga anggota tentera namun status mereka masih dalam siasatan.
Pesawat Hercules C-130 A1310 milik TNI terhempas di Jalan Letjen Jamin Ginting, Padang Bulan, Medan, Sumatera Utara setelah dua minit berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo, Kota Medan pada pukul 11.48 pagi waktu tempatan.
Pesawat yang sepatutnya menuju ke Pangkalan Udara Tanjung Pinang, Kepulauan Riau itu terhempas di atas rumah awam dan kedai termasuk sebuah pusat spa yang terkenal di kawasan itu.