9 rakyat Pakistan maut, 3 cedera dalam serangan bersenjata di Iran

Bernama
Januari 28, 2024 12:05 MYT
Saksi memberitahu, suspek bersenjata itu telah pergi ke kediaman warga asing dan melepaskan tembakan ke arah mereka sebelum melarikan diri. - Gambar hiasan
TEHRAN: Seramai tiga individu bersenjata pada pagi Sabtu membunuh sembilan warga Pakistan dan mencederakan tiga yang lain di wilayah Sistan dan Baluchestan di tenggara Iran, lapor Xinhua yang memetik Agensi Berita Iran, Mehr.
Timbalan gabenor untuk keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang Sistan dan Baluchestan, Alireza Marhamati berkata polis bergegas ke lokasi kejadian di daerah Saravan sejurus dimaklumkan.
Beliau berkata mengikut keterangan mangsa yang cedera juga warga Pakistan, suspek bersenjata itu telah pergi ke kediaman warga asing dan melepaskan tembakan ke arah mereka sebelum melarikan diri.
Marhamati mengutuk serangan 'pengganas' itu dan mengucapkan simpati kepada keluarga mangsa serta rakyat Pakistan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa insiden itu sedang disiasat manakala semua yang terlibat akan dikenal pasti dan berdepan tindakan tegas pihak berkuasa.
Bagaimanapun tiada kumpulan atau individu yang setakat ini mengaku bertanggungjawab atas insiden itu.
Sementara itu Kementerian Luar Pakistan pada Sabtu malam mengesahkan pembunuhan sembilan rakyatnya di Sistan dan Baluchestan, Iran.
Dalam satu kenyataan Kementerian Luar berkata serangan itu adalah satu insiden yang mengerikan dan keji serta pihaknya dengan tegas mengutuk insiden berkenaan.
"Pakistan berhubung dengan pihak berkuasa Iran dan telah menekankan keperluan untuk segera menyiasat insiden itu dan mempertanggungjawabkan mereka yang terlibat dalam jenayah berkenaan," katanya.
--BERNAMA-XINHUA
#Iran #rakyat Pakistan #Sistan dan Baluchestan #pembunuhan kejam
;