9 orang dimasukkan ke hospital di Singapura akibat penggunaan modafinil, armodafinil
Bernama
Mac 10, 2025 23:45 MYT
Mac 10, 2025 23:45 MYT
Sembilan individu dimasukkan ke hospital di Singapura dalam tempoh setahun sejak Februari 2024 akibat reaksi kulit serius selepas mengambil modafinil atau armodafinil. - Foto hiasan
SINGAPURA: Sembilan individu dimasukkan ke hospital di Singapura dalam tempoh setahun sejak Februari 2024 akibat reaksi kulit serius selepas mengambil modafinil atau armodafinil, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) negara itu.
HSA berkata kes itu susulan kepada amaran yang dikeluarkan pada November 2023 apabila tiga pengguna dimasukkan ke hospital akibat reaksi buruk yang serius selepas menggunakan ubat-ubatan itu secara tidak wajar.
Kesemua sembilan individu terbabit, tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 18 hingga 57 tahun, memperoleh modafinil dan armodafinil daripada penjual jalanan atau rakan mereka serta mengambilnya tanpa preskripsi doktor atau pengawasan perubatan.
"Sebahagian daripada mereka menyatakan bahawa mereka mengambil produk itu untuk meningkatkan kewaspadaan atau tenaga. Seorang daripada mereka mengambilnya sebagai makanan tambahan untuk meningkatkan tenaga dan kesihatan," menurut HSA dalam kenyataan pada Isnin.
Enam daripada mereka mengalami sindrom Stevens-Johnson (SJS), iaitu keadaan kulit yang mengancam nyawa yang dicirikan oleh lepuh serta pengelupasan teruk pada kulit dan membran mukus, manakala selebihnya mengalami nekrolisis epidermis toksik (TEN), bentuk SJS yang lebih teruk.
"Salah seorang daripada mereka, seorang lelaki berusia 20-an, mengalami lepuh kulit yang mengancam nyawa sehingga meliputi 60 peratus tubuhnya, termasuk muka, dada, lengan, alat kelamin, kaki dan tapak kaki. Kebanyakan pengguna sedang dalam proses pemulihan, dan tiada kematian dilaporkan," tambahnya.
Menurut HSA, modafinil dan armodafinil adalah ubat yang tidak didaftarkan di Singapura tetapi boleh didapati di beberapa negara sebagai ubat preskripsi untuk pesakit dengan keadaan perubatan tertentu, seperti narkolepsi. Ubat itu mesti ditetapkan oleh doktor dan digunakan di bawah pengawasan perubatan yang ketat.
Ubat itu boleh menyebabkan reaksi kulit serius yang mengancam nyawa, seperti SJS dan TEN, serta kesan buruk serius yang lain seperti masalah jantung, tekanan darah tinggi dan keadaan psikiatri termasuk kebimbangan, halusinasi atau mania.
Modafinil dan armodafinil juga berisiko menyebabkan ketagihan akibat kesan rangsangannya terhadap otak.
Perunding Kanan Jabatan Dermatologi Hospital Besar Singapura, Profesor Madya Lee Haur Yueh, berkata walaupun SJS dan TEN jarang berlaku, ia mengancam nyawa dan boleh menyebabkan kerosakan kulit yang meluas serta dalam kes yang teruk, kegagalan organ.
"Hakikat bahawa kita melihat sejumlah besar kes daripada armodafinil dan modafinil menunjukkan bahawa risiko yang dikaitkan dengan ubat-ubatan ini amat tinggi. Ubat ini hanya boleh diambil apabila ditetapkan oleh doktor dan dengan pengawasan perubatan yang betul bagi memastikan keselamatan pesakit," katanya.
HSA memberi amaran bahawa pembekalan dan penjualan modafinil serta armodafinil tanpa kebenarannya adalah satu kesalahan di bawah Akta Produk Kesihatan.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga S$50,000 (S$1=RM3.30), penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
-- BERNAMA