SIEM REAP: Sekurang-kurangnya 9,065 keluarga yang menetap haram di Taman Arkeologi Angkor seluas 401 km persegi telah menawarkan diri untuk ditempatkan semula di kawasan baharu yang ditetapkan, kata Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen pada Jumaat.

Kawasan penempatan semula terletak di perkampungan eko Run Ta Ek di daerah Banteay Srei dan kawasan Pak Sneng di daerah Angkor Thom, di luar taman Angkor, lapor Xinhua.

Bercakap semasa lawatan kali ketiga ke isirumah yang dipindahkan, Hun Sen berkata pemindahan penduduk itu bertujuan mengekalkan keindahan taman Angkor, yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak warisan dunia sejak 1992.

"Semasa kami mencalonkan Angkor sebagai tapak warisan dunia, kami menerima semua terma dan syarat yang dikehendaki oleh UNESCO, oleh itu kami perlu mematuhi terma dan syarat itu, atau Angkor akan dikeluarkan daripada senarai warisan dunia," katanya.

Setiap keluarga yang dipindahkan menerima sebidang tanah berukuran 20 meter lebar dan 30 meter panjang, dan kad pengenalan kemiskinan, yang membolehkan mereka mengakses bantuan tunai bulanan dan penjagaan kesihatan percuma selama 10 tahun.

Kerajaan Kemboja mula memindahkan setinggan keluar dari Angkor selepas UNESCO memberi amaran bahawa tapak purba itu boleh ditarik balik daripada Senarai Warisan Dunia memandangkan terlalu banyak binaan haram di situ yang bertentangan dengan terma dan syarat yang ditetapkan..

Bilangan sebenar keluarga yang masih tinggal di kawasan Angkor tidak diketahui.

Angkor adalah destinasi pelancongan paling popular di negara di Asia Tenggara itu. Tapak berkenaan merekodkan 134,152 pelancong asing dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022, meningkat 2,075 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata Angkor Enterprise milik kerajaan.

Tapak arkeologi itu memperoleh ASS5.36 juta hasil daripada jualan tiket dari Januari hingga September tahun ini, atau peningkatan 2,012 peratus tahun ke tahun.

Sebelum pandemik COVID-19, Angkor menarik sehingga 2.2 juta pelancong antarabangsa pada 2019, dengan pendapatan kasar sebanyak AS$99 juta hasil jualan tiket.

-- BERNAMA