88 rakyat Palestin terbunuh dalam dua serangan udara Israel di utara Gaza
Bernama
November 21, 2024 19:50 MYT
November 21, 2024 19:50 MYT
GAZA CITY (Palestin): Sekurang-kurangnya 88 rakyat Palestin terbunuh dalam dua serangan udara Israel di kawasan perumahan di utara Semenanjung Gaza awal Khamis, dengan orang awam dan kakitangan hospital membantu mengangkut mereka yang cedera dan maut ke hospital selepas tentera Israel memusnahkan infrastruktur bantuan kecemasan Pertahanan Awam Palestin, lapor Agensi Anadolu (AA).
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 88 rakyat Palestin terbunuh dalam dua serangan udara Israel di kawasan perumahan di utara Semenanjung Gaza, termasuk 66 orang berhampiran Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia.
- Tentera Israel memusnahkan infrastruktur bantuan kecemasan Pertahanan Awam Palestin, menyebabkan orang awam dan kakitangan hospital terpaksa mengangkut mangsa yang cedera dan maut ke hospital.
- Serangan ini mendapat kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan Israel menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana tindakan mereka di Gaza.
Sekurang-kurangnya 66 rakyat Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel di dataran kediaman berhampiran Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, kata sumber perubatan kepada Anadolu, memberikan anggaran awal.
Orang ramai membawa mangsa yang maut dan cedera ke hospital kerana tiada pasukan penyelamat Pertahanan Awam Palestin untuk membantu mereka selepas tentera Israel memusnahkan infrastruktur mereka, kata sumber itu.
Beliau menambah pasukan perubatan dari Hospital Kamal Adwan membantu menyelamatkan mangsa dari bawah runtuhan.
"Berpuluh-puluh rumah di sekitar Hospital Kamal Adwan musnah sepenuhnya dan berpuluh-puluh yang lain rosak teruk akibat serangan udara Israel yang dahsyat," kata sumber yang melihat kemusnahan itu kepada Anadolu.
Dalam serangan terdahulu, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di utara Bandar Gaza membunuh sekurang-kurangnya 22 lagi rakyat Palestin.
"Jumlah kematian meningkat kepada 22 rakyat Palestin, termasuk 10 kanak-kanak dan lima wanita, akibat serangan udara Israel ke atas sebuah rumah keluarga Al-Arouqi di kawasan kejiranan Sheikh Radwan," kata sumber perubatan kepada Anadolu.
Seorang saksi mata juga memberitahu Anadolu bahawa serangan udara Israel yang hebat memusnahkan sepenuhnya bangunan enam tingkat keluarga Al-Arouqi, membunuh berpuluh-puluh orang dan menyebabkan yang lain hilang di bawah runtuhan.
Israel melancarkan perang pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza membunuh hampir 44,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 104,000.
Tahun kedua pembunuhan beramai-ramai di Gaza telah mendapat kecaman antarabangsa yang semakin meningkat, dengan tokoh dan institusi melabelkan serangan dan menyekat penghantaran bantuan sebagai percubaan yang disengajakan untuk memusnahkan penduduk.
Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kerana perang maut yang dilakukannya ke atas penduduk Gaza.
-- BERNAMA