86 rakyat Malaysia di Wuhan diminta tenang dan terus rasional

Khairunnisa Kasnoon
Januari 29, 2020 23:57 MYT
Pihak kedutaan Malaysia di China sentiasa berkomunikasi dengan rakyat Malaysia di Wuhan bagi memaklumkan perkembangan terkini
Seramai 86 orang rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dan sekitarnya berada dalam keadaan tenang.
Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin memaklumkan kesemua mereka juga tidak dibenarkan keluar rumah bagi mengelakkan jangkitan koronavirus.
“Kami sentiasa meneruskan proses untuk mengenal pasti rakyat Malaysia yang berada disitu (Wuhan) dari semasa ke semasa dan hasil pemantauan terkini jumlah rakyat Malaysia yang berada di Wuhan dan kawasan sekitarnya bertambah ke 86 orang,” katanya.
Sebelum ini, rekod menyatakan jumlah rakyat Malaysia berada di Wuhan seramai 78 orang.
Jelasnya lagi, pihaknya juga sentiasa berkomunikasi dengan rakyat Malaysia di Wuhan bagi memberi perkembangan terkini berkaitan isu koronavirus.
“Secara umumnya mereka berada dalam keadaan tenang dan pihak kedutaan ada menubuhkan WeChat group bagi bantu mereka beri maklumat terkini dan untuk komunikasi dengan mereka.
Selain itu kami juga menggunakan e-mel dan menelefon mereka dari masa ke semasa,” ujarnya kepada Astro AWANI.
Pada masa sama, beliau menekankan supya rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan tenang dan rasional sementara kerajaan Malaysia dan China berbincang untuk membawa merekapulang ke tanah air.
#China #Duta Besar #koronavirus #penyakit #Raja Datuk Nurshirwan Zainal Abidin #rakyat Malaysia #Wuhan
;