BAKU/YEREVAN: Azerbaijan dan Armenia pada Rabu mengumumkan angka korban anggota tentera masing-masing dalam pertempuran yang tercetus di sepanjang sempadan pada Selasa, lapor Xinhua.

Kementerian Pertahanan Azerbaijan dalam satu kenyataan memaklumkan tujuh askar Azerbaijan terbunuh dan 10 lagi cedera.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Armenia berkata seorang askar Armenia terbunuh dan 24 lagi hilang manakala 13 lagi telah ditahan tentera Azerbaijan.

Kedua-dua pihak saling menuding jari yang memulakan serangan provokatif.

Beberapa jam selepas pertempuran, kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata dan Rusia bertindak sebagai orang tengah. Kedua-duanya pihak pada Rabu mengesahkan pertempuran telah berhenti dan keadaan sempadan kembali stabil.

-- BERNAMA