8 maut, 5 hilang dalam kejadian banjir lumpur di Peru
Bernama
Februari 7, 2023 13:38 MYT
Februari 7, 2023 13:38 MYT
LIMA: Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan (COEN) pada Isnin mengesahkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan lima masih hilang selepas banjir lumpur melanda perkampungan di Camana Peru, di wilayah selatan Arequipa.
Hujan lebat pada hujung minggu menyebabkan banjir lumpur yang menjejaskan beberapa komuniti, termasuk Pampaylima, Venado de Oro, Infiernillo, San Martin, Miski dan Secocha, kesemuanya terletak di daerah Mariano Nicolas Valcarcel, lapor Xinhua.
Komuniti perlombongan di Miski dan San Martin terkejut dengan kejadian tanah runtuh itu.
Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan lumpur dan batu menimbus laluan termasuk rumah pasang siap.
Pihak berkuasa tempatan meminta bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada komuniti yang terputus hubungan selepas banjir menjejaskan lebuh raya Secocha-San Martin. - BERNAMA