8 kematian akibat wabak Listeria, 21 kes penyakit virus Oropouche di AS

Bernama
Ogos 29, 2024 12:30 MYT
Menurut CDC, seramai 57 orang telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Listeria di negara itu, dan lapan kematian kini dilaporkan. - Gambar hiasan
LOS ANGELES: Amerika Syarikat (AS) melaporkan lebih 50 kes jangkitan dan lapan kematian akibat wabak Listeria, menurut data terkini yang dikeluarkan pada Rabu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, lapor Agensi Berita Xinhua.
Menurut CDC, seramai 57 orang telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan Listeria di negara itu, dan lapan kematian kini dilaporkan.
Ini adalah wabak listeriosis terbesar sejak wabak 2011 yang dikaitkan dengan buah tembikai wangi.
CDC telah meminta orang ramai supaya tidak memakan produk deli atau produk daging yang dihiris dan telah ditarik balik.
Individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Listeria, termasuk wanita hamil, berusia 65 tahun ke atas, atau mempunyai sistem imun yang lemah, disarankan untuk mengelakkan memakan daging yang dihiris di kaunter deli.
Listeria ialah kuman yang tahan lasak dan boleh kekal di permukaan seperti mesin pemotong daging serta makanan, walaupun pada suhu sejuk beku.
Menurut CDC, ia juga boleh mengambil masa sehingga 10 minggu untuk individu menunjukkan gejala listeriosis.
Sementara itu, sebanyak 21 kes penyakit virus Oropouche dilaporkan dalam kalangan pengembara AS yang kembali dari Cuba, menurut data terkini dari CDC.
Virus Oropouche ialah virus bawaan arthropod yang sedang muncul di Amerika.
CDC menyeru pengamal perubatan dan pihak kesihatan awam supaya berwaspada terhadap penyakit virus Oropouche dalam kalangan pengembara AS dan meminta ujian untuk kes yang disyaki.
Pengembara dinasihatkan untuk mencegah gigitan serangga semasa melancong, dan wanita hamil disarankan untuk menimbangkan semula perjalanan ke kawasan yang mengalami wabak penyakit virus Oropouche.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #penyakit berbahaya #wabak Listeria #Virus Oropouche