778 sekolah musnah di Mozambique akibat Taufan Ana

Astro Awani
Februari 1, 2022 23:00 MYT
Taufan Ana yang melanda bahagian selatan Afrika minggu lepas telah meragut lebih 80 nyawa serta menyebabkan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal. - Foto REUTERS
MAPUTO: Hampir 800 sekolah di Mozambique musnah akibat dilanda Taufan Ana minggu lepas, kata Kementerian Pelajaran negara itu.
Ketika ini kerajaan telah memasang ribuan khemah untuk dijadikan bilik darjah sementara bagi lebih 300,000 pelajar dan 4,700 guru yang terkesan.
Menurut jurucakap Kementerian Pelajaran, Gina Guibunda, beberapa sekolah dijadikan pusat pemindahan sementara bagi penduduk yang terjejas.
"Bangunan sekolah sering digunakan sebagai pusat pemindahan sementara jika berlaku keadaan seperti ini," katanya.
Taufan Ana yang melanda bahagian selatan Afrika minggu lepas telah meragut lebih 80 nyawa serta menyebabkan puluhan ribu penduduk hilang tempat tinggal.
Satu lagi taufan dijangka akan melanda kawasan berkenaan minggu ini.
Jabatan Kaji Cuaca pada Selasa memaklumkan Taufan Batsirai kini semakin kuat dan mengeluarkan amaran tahap tiga di Mauritius - tahap kedua tertinggi.
Penduduk di pulau yang terletak di Lautan Hindi itu berpusu-pusu membeli bekalan.
#Taufan Ana #sekolah #musnah #Pusat Pemindahan Sementara