75 rumah musnah akibat tanah runtuh di Peru

Astro Awani
Mac 19, 2024 08:15 MYT
Akses ke kawasan yang terjejas masih sukar disebabkan jalan terputus akibat hujan yang berterusan sekali gus menghalang operasi menyelamat dan bantuan. - Foto REUTERS
AREQUIPA: Tanah runtuh di Alca, selatan Peru menyebabkan sekurang-kurangnya 75 buah rumah musnah selain menyebabkan kerosakan pada jalan raya, sekolah dan hospital pada Sabtu.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan kejadian disebabkan hujan lebat berterusan di kawasan berbukit sekitar Alca, yang turut mengakibatkan keadaan banjir.
Gabenor Arequipa, Rohel Sanchez menyifatkan kejadian ini sebagai bencana terburuk di daerah Alca.
"Tiada air, saliran, atau elektrik. Kami mempunyai 75 rumah yang tidak dapat didiami dan 75 keluarga yang hilang tempat tinggal di Alca.
"Di samping itu, hospital telah mengalami kerosakan yang serius dan dua sekolah runtuh," katanya.
Sementara itu, pasukan penyelamat telah diarah untuk membantu penduduk yang terjejas akibat bencana itu.
Walau bagaimanapun, akses ke kawasan yang terjejas masih sukar disebabkan jalan terputus susulan hujan lebat yang berterusan sekali gus menghalang operasi menyelamat dan bantuan.
#tanah runtuh #pasukan penyelamat #hujan lebat #Peru
;