75 peratus pokok zaitun di Gaza musnah akibat serangan Israel

Bernama
Oktober 19, 2024 23:14 MYT
Konflik telah memberi kesan yang merosakkan terhadap sektor zaitun, memusnahkan lebih daripada 75 peratus pokok zaitun di wilayah Gaza. - Reuters
ISTANBUL: Kempen ketenteraan Israel telah menyebabkan lebih 75 peratus pokok zaitun di Gaza musnah, menurut laporan baharu yang didedahkan pada Sabtu.
Menurut Agensi Anadolu, laporan yang disusun oleh 'National Office for the Defence of Land and Resistance to Settlement' yang bernaung di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin menyatakan bahawa "konflik itu telah memberi kesan yang merosakkan terhadap sektor zaitun, memusnahkan lebih daripada 75 peratus pokok zaitun di wilayah itu."
Israel meneruskan serangan udara dan darat ke atas wilayah Palestin sejak Oktober tahun lalu.
Laporan itu menyatakan bahawa penduduk Gaza hanya dapat mengakses ladang mereka semasa gencatan senjata sementara yang berlangsung hanya seminggu pada November lalu, membolehkan mereka menuai zaitun dari kawasan yang belum dirosakkan dan dimusnahkan oleh Israel.
Penerbitan itu juga menyatakan bahawa di Tebing Barat yang diduduki, pihak berkuasa Israel telah membatalkan semua permit yang diberikan kepada petani untuk memetik zaitun, sekali gus menghalang mereka daripada mengakses tanah mereka.
Ia turut menyoroti pelbagai tindakan oleh peneroka haram yang bertujuan untuk menghalang rakyat Palestin daripada menuai buah zaitun.
Anggaran menunjukkan bahawa kira-kira 9,591 hektar tanah yang ditanam dengan pokok zaitun di Tebing Barat yang diduduki telah diisytiharkan sebagai zon ketenteraan tertutup oleh pihak berkuasa Israel.
Zaitun adalah tanaman pertanian utama di Palestin dan telah diusahakan sejak ribuan tahun.
-- BERNAMA
#Palestin #Gaza #pokok zaitun #serangan Israel #Kemusnahan
;