75 peratus negara di dunia tidak bersedia untuk hadapi ancaman wabak
Astro Awani
Januari 27, 2020 19:21 MYT
Januari 27, 2020 19:21 MYT
Majoriti negara di seluruh dunia tidak bersedia dalam menghadapi ancaman biologi (seperti wabak dan penyakit berjangkit lain) sekiranya ia berlaku.
Menurut Economist Intelligence Unit, menerusi Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) yang diterbitkan pada Oktober 2019, purata skor yang dicatatkan 195 negara terbabit ialah pada sekitar 40.5 peratus.
"Kesediaan antarabangsa untuk sebarang wabak atau penyakit masih lemah," jelas laporan tersebut.
Indeks ini mengukur keupayaan sesebuah negara meliputi pengesanan, pencegahan, tindakan, risiko serta komitmen untuk meningkatkan kapasiti nasional.
Setakat laporan tersebut dilaporkan pada Oktober 2019, hanya 13 negara sahaja yang berada pada kedudukan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi ancaman wabak termasuk Thailand dan Korea Selatan.
Dalam indeks sama, Malaysia berada di kedudukan ke-18 dunia dengan skor 62.2 peratus pada kategori 'lebih bersedia'.
Thailand menjadi negara 'paling bersedia' untuk menghadapi situasi wabak berbanding negara Asia Tenggara yang lain pada skor 73.2 peratus, manakala Singapura pada skor 58.7 peratus.
Laporan sama turut memberi contoh bagaimana Thailand berjaya menghentikan penularan wabak Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) pada 2015.
Ketika itu, wabak berkenaan telah menjangkiti 186 individu dengan 38 terbunuh di Korea Selatan.
Pada tahun sama, Thailand telah mengesahkan kes import yang berlaku dan memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta-merta.
Laporan berkenaan turut memberitahu bahawa Thailand berjaya menghentikan kes jangkitan MERS dan kes berikutnya tanpa sebarang penularan baharu.
"Thailand berjaya mengenal pasti dan menghentikan penularan MERS menjadi contoh terbaik bagi nilai yang ditunjukkan dalam pembangunan sistem keselamatan kesihatan dan sistem kesihatan yang baik bagi menghentikan wabak dari sumbernya.
"Ini menunjukkan Thailand berjaya mengungguli isu keselamatan kesihatan di peringkat global," jelas laporan itu lagi.
Indeks Keselamatan Kesihatan Global (GHS) mengambil masa lebih dua tahun untuk dikeluarkan dengan pembabitan lebih 100 penyelidik dari seluruh dunia.
Laporan ini juga menjadi indikator penting kepada pembuat dasar bagi menentukan keutamaan bagi memastikan keselamatan di negara masing-masing.