749 ditahan di Venezuela kerana merusuh

Bernama
Julai 31, 2024 01:40 MYT
Ketua pembangkang Maria Corina Machado dan calon pembangkang Edmundo Gonzalez menaiki trak menyertai protes menentang keputusan rasmi pilihan raya presiden di Caracas, Venezuela, 30 Julai 2024, dua hari selepas hari mengundi. (Foto AP)
CARACAS: Pihak berkuasa Venezuela telah menahan 749 individu dipercayai terlibat dalam rusuhan ganas susulan pilihan raya presiden pada Ahad, kata Peguam Negara Tarek William Saab pada Selasa.
Dalam satu kenyataan, peguam negara memaklumkan mereka yang ditahan menghadapi tuduhan "menghasut, menghalang jalan awam, jenayah kebencian ... menentang penahanan dan dalam kes yang paling serius, keganasan," lapor Agensi Berita Xinhua.
Menurut Saab, seramai 48 pegawai tentera dan polis telah cedera, termasuk terkena tembakan manakala seorang pegawai tentera di utara negeri Aragua terbunuh akibat keganasan itu.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa kumpulan berhaluan kanan telah menggunakan kanak-kanak dan individu di bawah pengaruh dadah dalam rusuhan di beberapa bandar di Venezuela.
Saab berkata rusuhan itu bukanlah protes sebaliknya perbuatan "penjenayah bersenjata" yang ingin "mencetuskan kekacauan. Mereka mahu ... ini meningkat ke peringkat nasional ... supaya terdapat campur tangan asing."
Venezuela mengadakan pilihan raya presiden pada Ahad dan Majlis Pilihan Raya pada Isnin mengumumkan Presiden Nicolas Maduro sebagai pemenang pilihan raya.
-- BERNAMA
#Venezuela #rusuhan #pilihan raya #tembakan