74 lagi rakyat Palestin terbunuh, korban Gaza kini meningkat kepada 42,792
Astro Awani
Oktober 23, 2024 18:27 MYT
Oktober 23, 2024 18:27 MYT
GAZA: Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel meningkat kepada 42,792 orang.
Ringkasan AI
- Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel kini mencapai 42,792 orang, dengan 100,412 cedera.
- Dalam 24 jam terakhir, serangan Israel di Gaza mengorbankan 74 orang dan mencederakan 130 yang lain. Serangan juga berlaku di Lubnan, memusnahkan kemudahan Hezbollah.
- PBB bimbang tentang kemusnahan besar dan perpindahan paksa di Gaza, memperburuk krisis kemanusiaan dengan kekurangan bekalan makanan dan air.
Serangan rejim zionis di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu telah mengorbankan 74 rakyat Palestin dan mencederakan 130 yang lain, menurut kemas kini harian terkini oleh Kementerian Kesihatan di Gaza.
Angka-angka ini menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak permulaan perang kepada sekurang-kurangnya 42,792 orang manakala 100,412 lagi cedera, dengan ribuan yang lain masih hilang di bawah runtuhan bangunan yang musnah.
Dalam perkembangan terkini, serangan Israel masih berterusan di Gaza dan Lubnan.
Menurut laporan, serangan udara Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang di Gaza sejak subuh hari ini, termasuk 18 di kem pelarian Jabalia di utara Gaza yang sedang dikepung.
Di samping itu, serangan udara Israel juga telah memusnahkan beberapa kemudahan dan tapak yang digunakan oleh Hezbollah di Beirut dan selatan Lubnan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyuarakan kebimbangan bahawa Israel mungkin menyebabkan kemusnahan besar terhadap penduduk Palestin di utara Gaza melalui kematian dan perpindahan paksa.
Keadaan ini semakin memburukkan krisis kemanusiaan di rantau tersebut, dengan penduduk terputus bekalan makanan dan air.
Serangan berterusan ini menambah tekanan kepada usaha diplomatik untuk mencapai gencatan senjata segera dan penyelesaian jangka panjang bagi konflik yang berlarutan ini.