700 dikhuatiri mati dalam insiden bot karam di Mediterranean

AFP
April 19, 2015 20:05 MYT
Bot berkenaan karam kira-kira 96 kilometer di luar perairan Libya dan 193 kilometer di selatan pulau milik Itali, Lampedusa.
Kira-kira 700 orang dikhuatiri mati lemas apabila sebuah bot nelayan yang membawa pendatang haram ke Eropah karam di luar perairan Libya berdekatan Malta.
Menurut jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), Carlotta Sami di Itali, hanya 28 orang dilaporkan selamat dalam tragedi tersebut.
Bot berkenaan karam kira-kira 96 kilometer di luar perairan Libya dan 193 kilometer di selatan pulau milik Itali, Lampedusa.
Tentera laut Malta pula menjangkakan sekitar 650 orang berada di dalam bot malang tersebut dan panggilan kecemasan telah diterima mereka pada waktu tengah malam pada Sabtu.
“Kami telah menghantar aset-aset kami dalam operasi mencari dan menyelamat bersama pasukan dari Itali,” kata jurucakap tentera laut Malta tanpa mengulas lanjut.
Tragedi ini dipercayai paling buruk dalam sejarah kemalangan melibatkan pendatang haram oleh sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang cuba memasuki Kesatuan Eropah di zon Mediterranean.
Kemalangan tersebut berlaku selepas seminggu insiden dua bot karam yang mengorbankan nyawa kira-kira 450 orang.
Terdahulu, lebih 11,000 imigran ke Eropah telah diselamatkan pasukan pengawal pantai Itali dan bot-bot lain.
Setakat ini, lebih kurang 1,500 orang dilaporkan mati lemas di perairan antara Libya dan Itali sejak awal tahun lalu.
Organisasi bantuan menyeru gabungan antarabangsa untuk bersedia dengan sistem mencari dan menyelamat yang lebih tersusun bagi menangani peningkatan bilangan pemohon suaka dan imigran dari Asia dan Afrika ke Eropah.
#imigran #karam #Kesatuan Eropah #Libya #pemohon suaka #pendatang haram
;