70 terbunuh dalam kejadian rusuhan dan kebakaran di penjara Venezuela
Agensi
Mac 29, 2018 13:58 MYT
Mac 29, 2018 13:58 MYT
Seramai 70 orang telah terbunuh dalam kejadian rusuhan dan kebakaran yang berlaku di sebuah penjara di Valencia, Venezuela pagi tadi.
Menurut laporan BBC, jumlah kematian itu disahkan oleh Pendakwa Raya Tertinggi Venezuela, Tarek William.
Katanya, kebakaran bermula apabila terdapat segelintir banduan bertindak membakar tilam dalam cubaan untuk melarikan diri.
Sehingga kini, pihak keluarga banduan masih belum menerima sebarang maklumat tentang keadaan mangsa, serta diminta menunggu di luar untuk sebarang pengumumam.
Akibat perbalahan dengan anggota polis, terdapat juga ahli keluarga yang disembur gas pemedih mata.
Di Venezuela, memiliki senjata api dan dadah dilihat sebagai perkara yang biasa namun kejadian rusuhan seperti ini adalah satu perkara di luar jangkaan.
Menurut jurucakap pihak berkuasa, Jesus Santander, seluruh wilayah Carabobo kini sedang berkabung susulan peristiwa itu.
"Pasukan forensik masih menyiasat jumlah kematian," kata beliau.
Beliau memberitahu, seorang polis turut cedera dalam kejadian itu kerana tertembak di bahagian kaki sementara pasukan bomba berjaya memadamkan api kebakaran.
Memetik laporan Reuters, kebanyakan penjara di Venezuela tidak mempunyai undang-undang yang ketat malah banduan sering dibiarkan menggunakan senjata api dan dadah.