70 tahun menderita, Tikiri kini pergi buat selamanya

Firdaus Azil
September 25, 2019 12:58 MYT
Tikiri menjadi bualan hangat kerana keadaannya yang sangat uzur, anggota badan yang kurus serta kaki yang menggeletar. -Gambar fail
Selepas hampir 70 tahun hidup sebagai ‘hamba’ pada persembahan festival, gajah betina yang dikenali sebagai Tikiri akhirnya pergi buat selamanya.
Menurut badan hak asasi haiwan, Yayasan Selamatkan Gajah (SEF), biarpun sedih dengan berita berkenaan, SEF menganggap ia pengakhiran yang terbaik untuk haiwan itu.
“Penderitaan Tikiri sudah berakhir, rohnya telah bebas. Tiada lagi kekejaman yang boleh dilakukan ke atasnya.
“Selamat berehat dan jangan pandang kembali ke arah dunia ini yang nyata membuat jiwa mu dan rakan-rakan mu menderita,” kata pengasas SEF, Lek Chailart melalui akaun Instagram.
Tikiri baru-baru ini menjadi bualan hangat kerana keadaannya yang sangat uzur, anggota badan yang kurus serta kaki yang menggeletar.
Namun semua penderitaan itu disembunyikan melalui kostum berwarna-warni setiap kali dipaksa berarak pada Festival Tahunan Perahera, di Kandy, Sri Lanka.
Tikiri akhirnya dipulangkan ke penjaga asalnya setelah berita penderitaannya mendapat perhatian Menteri Pelancongan Sri Lanka.
Namun ia sudah terlewat memandangkan keadaan kesihatan Tikiri yang merosot teruk.
BACA: Gajah mengamuk, 18 disahkan cedera
Kumpulan hak asasi haiwan PETA memberitahu BBC, kebanyakan gajah di Sri Lanka menerima nasib yang sama -- tidak mendapat penjagaan kesihatan yang sewajarnya dan sering terdedah kepada eksploitasi manusia untuk pertunjukan seperti itu.
Mereka turut menyeru agar diwujudkan penguatkuasaan yang lebih tegas untuk melindungi nasib haiwan, serta meminta pelancong untuk mengelak pertunjukan yang menampilkan haiwan.
#gajah #gajah mati #pelancong #pelancongan #peta #SEF #Sri Lanka #Tikiri #Yayasan Selamatkan Gajah
;