AS$70 gunting rambut di White House ketika perintah berkurung COVID-19

Astro Awani
April 2, 2021 10:12 MYT
Pembantu tersebut membayar AS$70 seorang untuk perkhidmatan rahsia itu yang disediakan dua wanita di dalam tandas Bangunan Pejabat Eksekutif Eisenhower. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Pembantu bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan mendapat perkhidmatan gunting rambut di bangunan bersebelahan White House ketika awal penularan pandemik COVID-19.
Memetik laporan New York Post, pembantu tersebut membayar AS$70 seorang untuk perkhidmatan rahsia itu yang disediakan dua wanita di dalam tandas Bangunan Pejabat Eksekutif Eisenhower.
Perkhidmatan itu disediakan ketika perintah berkurung diumumkan di Washington DC yang memaksa semua kedai gunting rambut serta perniagaan yang tidak penting ditutup.
Menurut portal berita itu lagi dua-dua wanita tersebut disyorkan oleh isteri kepada ahli parti Republikan dari Ohio, Jim Jordan kepada bekas Ketua Turus White House, Mark Meadows.
"Isteri Jim Jordan memperkenalkan dua wanita itu kepada Debbie Meadows (isteri Mark Meadows) dan Mark mencadangkan untuk membawa mereka ketika pandemik tersebut," kata bekas pegawai White House kepada New York Post.
Bekas pembantu Donald Trump, Beau Harrison pula akan mengambil temu janji mereka yang inginkan perkhidmatan tersebut.
Kedua-dua wanita berkenaan kemudian dilantik sebagai penggunting rambut White House secara rasmi.
#White House #gunting rambut #Donald Trump #COVID-19 #perintah berkurung #tandas
;