70 cedera gempa bumi landa Homuzgan, Iran
Bernama
November 15, 2021 12:40 MYT
November 15, 2021 12:40 MYT
TEHRAN: Seramai 70 orang dilaporkan cedera dalam gempa bumi di provinsi Hormuzgan pada Ahad, menurut Agensi Berita IRNA.
Ketua Organisasi Kecemasan Perubatan Iran Jafar Miadfar berkata 48 daripada mangsa yang cedera telah dibenarkan keluar hospital, 22 berada di bawah pengawasan perubatan manakala seorang disahkan meninggal dunia.
Presiden Ebrahim Raisi yang melahirkan rasa simpati terhadap mangsa gempa Hormuzgan dan menggesa seluruh organisasi bantuan dan kementerian yang bertanggungjawab membantu penduduk di kawasan terjejas.
Sementara itu, Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Karim Hemmati berkata 137 kampung terjejas akibat gempa bumi tersebut.
Gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter itu menggegarkan bandar Fin di wilayah Hormuzgan, selatan Iran pada Ahad.
Menurut Pusat Seismologi Institut Geofizik Universiti Tehran, gempa berlaku pada 15:37:04 waktu tempatan (12:07:04 GMT) dan pada kedalaman 15 kilometer.
Seminit kemudian satu gempa susulan bermagnitud 6.3 turut direkodkan.
-- BERNAMA