7 maut Konsulat Iran di Syria dibom peluru berpandu, Israel didakwa bertanggungjawab

Bernama
April 2, 2024 14:30 MYT
Bangunan konsulat itu diserang dengan pesawat perang F-35 dan enam peluru berpandu. - Gambar/ EPA
TEHRAN: Seorang komander tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan enam pegawai lain terbunuh dalam serangan peluru berpandu yang dipercayai dilakukan Israel ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.
Dalam satu kenyataan, sayap perhubungan awam IRGC mengumumkan kematian komander kanan Pasukan Quds IRGC di Syria dan Lubnan, Jeneral Mohammad Reza Zahedi, timbalannya Jeneral Hadi Haj Rahimi serta lima yang lain dalam serangan ke atas bangunan yang menempatkan bahagian konsular kedutaan di ibu negara Syria.
Pegawai IRGC terbunuh dikenali sebagai Hossein Amanollahi, Seyyed Mahdi Jalalati, Mohsen Sadaqat, Ali Agha Babaei dan Syed Ali Salehi Rozbahani.
Urusan penghantaran pulang dan pengebumian mangsa akan diumumkan kemudian.
Zahedi, seorang komander veteran IRGC yang sebelum ini memimpin angkatan darat dan udara IRGC serta berkhidmat sebagai timbalan komander operasi ketenteraan IRGC.
Duta Iran ke Syria Hossein Akbari dan keluarganya tidak cedera dalam serangan itu.
Bercakap kepada media selepas serangan itu, Akbari berkata bangunan tambahan konsulat itu diserang dengan pesawat perang F-35 dan enam peluru berpandu.
Akbari berkata serangan itu bertentangan dengan semua konvensyen antarabangsa dan akan menyaksikan "tindak balas yang tegas."
Radio Tentera Israel mendakwa Kedutaan Iran bukan sasaran serangan itu, tetapi bangunan berhampiran yang berfungsi sebagai ibu pejabat tentera IRGC di Damsyik.
Bagaimanapun radio itu tidak mengakui bahawa serangan berkenaan dilakukan oleh Tel Aviv.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Syria berkata serangan itu berlaku kira-kira 5 petang waktu tempatan dan menuduh Israel melakukan serangan itu dari Bukit Golan.
Kementerian itu berkata sistem pertahanan udaranya menembak jatuh beberapa peluru berpandu Israel tetapi serangan berkenaan mengakibatkan kepada "kemusnahan sepenuhnya" bangunan.
-- BERNAMA
#Israel #konsulat iran #Syria #peluru berpandu
;