7 maut dalam kebakaran kereta api penumpang di selatan Pakistan
Astro Awani
April 27, 2023 17:04 MYT
April 27, 2023 17:04 MYT
KARACHI: Sekurang-kurangnya tujuh penumpang terbunuh selepas sebuah gerabak kereta api penumpang yang sedang bergerak terbakar.
Kejadian dilapor berlaku di Khairpur di wilayah selatan Pakistan pada Rabu malam ketika kereta api itu dalam perjalanan dari Karachi ke bandar Lahore.
Enam mangsa maut dalam kebakaran itu manakala seorang wanita terbunuh selepas terjun dari tingkap kereta api yang sedang bergerak.
Kebakaran itu turut menyebabkan beberapa gerabak lain rosak teruk.
Punca kejadian sedang disiasat.
Di Pakistan, penumpang sering membawa dapur gas kecil ke dalam gerabak untuk memasak makanan, walaupun wujud peraturan menghalang amalan itu.
Peraturan keselamatan sering diabaikan dalam kereta api yang sesak di negara itu.
Nahas kereta api di Pakistan selalunya berpunca daripada kedaifan infrastruktur kereta api selain kecuaian.
Pada 2019, sekurang-kurangnya 74 penumpang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam kebakaran kereta api yang tercetus akibat dapur gas yang meletup di wilayah timur Punjab.