7 maut akibat serangan militan Islam di Kaherah
Astro Awani
November 3, 2018 08:12 MYT
November 3, 2018 08:12 MYT
Sekurang-kurangnya tujuh maut akibat serangan oleh kumpulan militan di Kaherah pada Jumaat, yang dilakukan terhadap penganut Kristian yang sedang dalam perjalanan pulang dari membaptis seorang kanak-kanak di sebuah biara Koptic di Mesir.
Enam daripada yang terkorban adalah dari keluarga yang sama, sementara 18 orang lagi, termasuk kanak-kanak, turut cedera, kata jurucakap Gereja Koptic dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian pada lewat tengah hari itu, penyerang melepaskan tembakan ke atas dua buah bas berhampiran Biara St Samuel Confessor di wilayah Minya, 260km dari Kaherah, katanya.
Menurut agensi berita militan Amaq, pihak Daish yang bertanggungjawab melakukan serangan hendap tersebut tetapi tidak memberikan sebarang bukti.
"Kumpulan pejuang menyerang mereka dengan senjata ringan, membunuh 13 orang dan mencederakan 18 orang," kata kumpulan militan itu dalam satu kenyataan.
Kementerian Dalam Negeri Mesir menjangkakan angka kematian mungkin meningkat.
Sebelum ini, serangan sama dilakukan pada Mei 2017 yang menyebabkan sekurang-kurangnya 30 maut.