7 maut akibat COVID-19, majlis perkahwinan kecil jadi punca

Agensi
November 13, 2020 06:55 MYT
Dalam tempoh 38 hari selepas majlis berlangsung, 176 orang dijangkiti, tujuh daripadanya meninggal dunia.
MAINE: Jika ada mempersoalkan mengapa acara atau majlis kecil dengan tetamu tidak ramai tidak dibenarkan ketika musim pandemik, ini jawapannya.
Sebuah majlis perkahwinan berlangsung 7 Ogos lalu di sebuah gereja di Maine, Amerika Syarikat, dan hanya membabitkan 55 tetamu.
Biarpun suhu badan tetamu diambil, tiada yang direkodkan mengalami demam atau sebarang simptom berkaitan COVID-19.
Tanpa disedari, rupa-rupanya ada seorang tetamu menjadi pembawa virus berkenaan.
Dalam tempoh 38 hari selepas itu, 176 orang dijangkiti, tujuh daripadanya meninggal dunia.
Lebih menyedihkan, kesemua yang maut bukan dalam kalangan mereka yang menghadiri majlis perkahwinan itu.
Pun begitu, LA Times melaporkan, hampir semua tetamu yang hadir tidak mengenakan pelitup separuh muka, malah mereka gagal melakukan penjarakan fizikal.
"Perhimpunan seperti perkahwinan, pesta ulang tahun, acara keagamaan, dan pengebumian, berpotensi menjadi acara penyebaran COVID-19.
"Dan risikonya lebih tinggi apabila orang ramai berkumpul di tempat yang tertutup.
"Paling penting, pakai pelitup muka," tulis kenyataan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Maine dalam laporan yang dikeluarkan pada Khamis.
#COVID-19 #pandemik #perkahwinan #perhimpunan #pelitup muka #Maine #gereja #Amerika Syarikat
;