7 maut, 46 cedera bangunan pejabat terbakar di Korea Selatan
Bernama
Jun 9, 2022 20:59 MYT
Jun 9, 2022 20:59 MYT
SEOUL: Sekurang-kurangnya tujuh orang disahkan maut manakala 46 lagi cedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah bangunan pejabat di bandar Daegu, tenggara Korea Selatan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Yonhap pada Khamis.
Kebakaran berlaku kira-kira 10.55 pagi waktu tempatan di bangunan pejabat tujuh tingkat di Daegu.
Tujuh orang ditemukan maut dan 46 lagi cedera akibat terhidu asap.
Kira-kira 50 jentera bomba bersama 160 anggota dihantar ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran.
Punca kejadian masih disiasat tetapi tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat.
-- BERNAMA