7 daripada 10 penduduk Singapura sokong hukuman mati mandatori terhadap pesalah dadah

Rahimah Abdullah
September 1, 2022 07:30 MYT
Menteri Dalam Negeri yang juga Menteri Undang-undang Singapura, K.Shanmugam menjelaskan, 80 peratus rakyat negara itu turut mahu hukuman sama dikenakan terhadap kes pembunuhan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Kaji selidik yang dilakukan Singapura pada 2021 mendapati hampir 70 peratus atau tujuh daripada 10 penduduk negara itu menyokong hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah.
Dalam masa sama, Menteri Dalam Negeri yang juga Menteri Undang-undang Singapura, K. Shanmugam menjelaskan, 80 peratus rakyat negara itu turut mahu hukuman sama dikenakan terhadap kes pembunuhan.
Malah, lebih 80 peratus percaya hukuman mati mampu mengekang kes jenayah itu di negara republik berkenaan.
Shanmugam berkata, kajian yang dilakukan di wilayah yang paling menjadi tumpuan penyeludup ke negara itu mendapati, kira-kira 69 peratus orang termasuk penduduk di selatan Malaysia mengatakan hukuman mati lebih berkesan daripada hukuman penjara seumur hidup.
"Dadah jahat, dadah memusnahkan lebih banyak nyawa. Kami bertanggungjawab ke atas kehidupan rakyat Singapura. Tinjauan ini dilakukan oleh golongan profesional, dan kami tidak terlibat dalam mereka bentuk soalan mengikut cara yang kami dapat, dan jawapan yang kami mahukan.
"Saya pasti ia dilakukan secara profesional," katanya semasa program Consider This yang disiarkan di saluran 501 Astro AWANI pada Khamis.
Ujarnya, Kerajaan Singapura ketika ini sedang berusaha memberi penjelasan dengan rasional kepada orang ramai mengapa negara itu melaksanakan hukuman mati.
"Penalti mestilah berkesan, ia mesti menghalang, dan itulah yang saya maksudkan dengan berkesan dan ini adalah sesuatu yang serius, seperti yang saya tunjukkan daripada tinjauan itu rantau ini.
"Orang ramai tahu undang-undang di Singapura dan oleh itu mereka tidak menyeludup (dadah). Namun ada yang tetap mahu mengambil risiko kerana mereka ingin mempunyai banyak wang, tetapi tidak semuanya," tambahnya.
Ujarnya lagi, sejak hukuman mati mandatori diperkenalkan pada tahun 1990, terdapat pengurangan kira-kira 66 peratus penyeludupan dadah jenis opium ke Singapura.
Malah, ketegasan Singapura itu berjaya menyelamatkan kira-kira 3,000 orang setiap tahun daripada kesan dadah termasuk ahli keluarga mereka.
"Pada tahun 1990-an, kami telah menangkap kira-kira 6,000 pesalah dadah di Singapura setiap tahun.
"Sekarang, kami tangkap separuh daripada jumlah itu, atau kira-kira 3,000 orang, walaupun populasi dan hasil pendapatan kami telah berkembang," kata Shanmugam.
Justeru, beliau tidak melihat pendekatan yang lebih lembut akan dapat memastikan negara itu mampu mencapai pengurangan kes penyeludupan dadah.
"Jadi, apakah yang akan berlaku jika kami beralih kepada pendekatan yang lebih lembut terhadap dadah? Anda tidak perlu meneka.
"Jika anda lihat di seluruh dunia, secara global, 500,000 orang mati setiap tahun akibat penggunaan dadah.
Apa pendapat kamu?
"Di Amerika Syarikat sahaja, 100,000 orang meninggal dunia tahun lepas akibat dos berlebihan dadah. 80 bayi dilahirkan setiap hari dengan neonatal sindrom," tambahnya lagi.
Ditanya mengenai langkah Malaysia ke arah memansuhkan hukuman mati mandatori, Shanmugam berkata, Singapura mempunyai sebab yang sebaiknya dalam melaksanakan hukuman berkenaan terhadap pesalah dadah.
"Ia adalah perkara dasar, dalam erti kata lain, contohnya, 15 gram heroin, apakah fungsinya? Ia cukup
untuk membekalkan dadah kepada 180 orang penyalahguna dadah selama satu minggu.
"Jadi anda memusnahkan nyawa 180 orang, dan kadang kala jumlah yang dibawa masuk cukup untuk memberi dadah kepada 2,000, 3,000 orang, atau lebih," tegasnya lagi.
#K Shanmugam #Singapura #hukuman mati #Dadah
;