65 kanggaru mati di Australia, siasatan dijalankan

Bernama
Julai 11, 2024 12:39 MYT
Pihak berkuasa sedang menyiasat kes kematian puluhan kanggaru, yang mempunyai kesan ditembak mahupun akibat dilanggar pihak yang tidak bertanggungjawab. - Gambar hiasan/AP
ISTANBUL: Pihak berkuasa Australia sedang menyiasat kematian sekurang-kurangnya 65 kanggaru yang ditemukan mati sama ada ditembak atau dilanggar kenderaan, mencetuskan usaha mencari pihak yang bertanggungjawab.
Kejadian itu berlaku di kawasan padok persendirian seluas kira-kira 190 hektar di sepanjang Jalan Tait Hamilton berhampiran Gobarup, timur laut Bendigo, kira-kira 120 kilometer utara Melbourne di negeri Victoria.
Seorang pengendali pusat perlindungan hidupan liar tempatan menemukan bangkai kanggaru kelabu timur pada 22 Jun dan segera memaklumkan kepada Pengawal Pemuliharaan negeri, lapor Agensi Anadolu (AA) menurut ABC News.
"Tiga ekor kanggaru ditemukan masih hidup tetapi terpaksa disuntik mati kerana kecederaan mereka yang terlalu parah," menurut laporan itu.
Pihak berkuasa juga menemukan kelongsong peluru senapang patah di lokasi kejadian.
Undang-undang negeri Victoria melarang memburu, mengambil, memusnahkan, mencederakan atau mengganggu hidupan liar, dengan hukuman sehingga enam bulan penjara dan denda.
Populasi kanggaru di Australia berjumlah lebih 30 juta.
-- BERNAMA
#kanggaru mati #Australia #ditembak #dilanggar kenderaan