61 rakyat Malaysia tiba dari Yaman esok dan Rabu
Bernama
Oktober 6, 2014 22:17 MYT
Oktober 6, 2014 22:17 MYT
Seramai 61 rakyat Malaysia telah meninggalkan Sana'a, ibu negara Yaman, dengan menaiki tiga penerbangan hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri seramai 41 orang daripada mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8.55 pagi dan 8.30 malam esok.
Bakinya seramai 20 orang lagi dijangka tiba di KLIA pada 8.25 pagi Rabu, kata kementerian itu malam ini.
Kerajaan memutuskan untuk membawa balik rakyat Malaysia berikutan keadaan semasa di Yaman selain sebagai langkah berjaga-jaga.
Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Luar Negeri bersama-sama Kedutaan Malaysia di Sana'a bekerjasama menyelaraskan operasi berkenaan.
"Kerajaan melalui kedutaan telah menyediakan tempat tinggal sementara kepada 449 rakyat Malaysia sejak 19 Sept. Kedutaan akan terus menyediakan bantuan kepada semua rakyat Malaysia dengan bantuan Persatuan Pelajar Malaysia di Yaman (PERMAYA) sehingga mereka selamat pulang ke Malaysia," katanya.
Konflik terbaharu Yaman berlaku berikutan pertempuran antara pergerakan Syiah Houthi dan tentera kerajaan yang menyaksikan pemberontak menguasai beberapa institusi penting di Sana'a.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri menasihatkan semua rakyat Malaysia supaya mengelak atau menangguhkan perjalanan ke Yaman kerana keadaan yang masih tidak menentu di negara itu.
Kementerian juga meminta kerjasama rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman untuk mendaftar dengan kedutaan jika mereka masih belum berbuat demikian.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Yaman menerusi talian 009671429781 dan 009671429782 atau emel mwsanaa@kln.gov.my.
Ketika menyambut baik perjanjian damai di Yaman baru-baru ini, Malaysia mengharapkan semua pihak dapat menghormati perjanjian perkongsian dan perdamaian yang ditandatangani pada 21 Sept serta bekerjasama ke arah kestabilan politik dan keamanan di negara itu.
Sementara itu, Bernama difahamkan rakyat Malaysia akan dibawa pulang menaiki pesawat domestik dari Yaman dengan transit di Jeddah dan Dubai sebelum tiba di Kuala Lumpur.