600 penduduk Israel, 313 rakyat Palestin terkorban pada hari kedua pertempuran

Astro Awani
Oktober 8, 2023 23:20 MYT
Media antarabangsa melaporkan, lebih 20,000 rakyat Palestin dilaporkan sedang mendapatkan perlindungan, termasuk di sekolah-sekolah kelolaan PBB. - Gambar AP
GAZA: Hari kedua pertempuran antara pejuang Palestin dan Pasukan Pertahanan Israel menyaksikan sekurang-kurangnya 370 rakyat Palestin dan 600 penduduk Israel terbunuh, manakala ribuan lagi tercedera.
Selain itu media antarabangsa melaporkan, lebih 20,000 rakyat Palestin dilaporkan sedang mendapatkan perlindungan, termasuk di sekolah-sekolah kelolaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Israel juga telah memperhebatkan serangan mereka ke atas bandar-bandar di Palestin, selepas Perdana Menterinya Benjamin Netanyahu berkata, mereka dalam mod perang selain berikrar pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam akan menanggung akibat yang dahsyat.
Di selatan Israel, Pejuang Hamas dilaporkan masih bertempur dengan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), manakala Tentera Hezbollah dari Lubnan pula telah melancarkan peluru berpandu ke arah tiga daerah yang menjadi pertikaian, iaitu di sempadan Syria-Israel di Golan Heights.
Situasi di Tebing Barat menjadi lebih buruk sejak Netanyahu mengambil alih pemerintahan Israel, dengan lebih banyak serbuan dan serangan yang dilakukan bagi membolehkan penempatan secara haram di atas tanah Palestin.
Gesaan beberapa pihak antarabangsa untuk proses pendamaian tergendala sejak bertahun lamanya, dan politik dalaman Israel tidak stabil susulan rancangan Netanyahu untuk merombak sistem kehakiman.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pula dilaporkan berkata, serangan yang bermula di Gaza akan diteruskan di Tebing Barat dan Jerusalem, dengan media melaporkan lebih ribuan pejuang Hamas dan Briged Al-Qassam kini sudah berada di beberapa bandar di Israel.
#Hamas #Gaza #Palestin #Israel
;