60 tertimbus bawah runtuhan lombong emas di Sulawesi
Nailah Huda
Februari 27, 2019 11:45 MYT
Februari 27, 2019 11:45 MYT
Sekurang-kurangnya 60 orang tertimbus bawah runtuhan tapak perlombongan emas haram di Bolaang Mondow, Sulawesi Utara di Indonesia yang berlaku pada Selasa, 9 malam, waktu tempatan.
Menurut Pusat Data dan Informasi Badan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia, setakat jam 5 pagi Rabu waktu tempatan, seorang dijumpai maut akibat runtuhan tersebut manakala 13 yang lain telah diselamatkan.
Ketua BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, kejadian itu bermula apabila berpuluh-puluh orang menambang emas di lokasi berkenaan dan secara tiba-tiba, tiang dan papan sokongan patah akibat tanahnya yang kurang stabil.
“Dalam 60 orang dianggarkan masih tertimbus bawah tanah dan batu runtuh,” menurut Sutopo yang memuat naik kemas kini mengenai tragedi tersebut ke laman web Twitter.
Walaupun perlombongan emas berskala kecil telah diharamkan di negara itu, ia masih dijalankan secara berleluasa di kawasan luar bandar.
Akibat kekurangan undang-undang dan pembinaan yang lemah, kemalangan di tapak perlombongan haram sering berlaku.
#haram
#Indonesia
#kemalangan
#lombong
#lombong emas
#lombong haram
#maut
#runtuhan
#Sulawesi
#Sutopo Purwo Nugroho
#tanah runtuh