60 ribu warga Syria terkorban sepanjang 22 bulan

Astro Awani
Januari 2, 2013 07:04 MYT
Lebih 60 ribu penduduk Syria dilaporkan terkorban sepanjang 22 bulan kebangkitan menentang kepimpinan Presiden Bashar Al Assad.
Angka berkenaan disahkan pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Navi Pillai.
Menurutnya sehingga Oktober lalu, 59,648 orang disahkan terbunuh. Sebahagian besar mangsa membabitkan kaum lelaki.
Bagaimanapun, Pillai yakin jumlah sebenar lebih besar daripada angka berkenaan kerana sejak Januari 2012, PBB tidak mendapat angka tepat mengenai bilangan mangsa.
Jumlah sebenar hanya akan dapat diketahui selepas keamanan dapat dicapai di negara berkenaan selain mengenal pasti punca kematian dan dalang sebenar pembunuhan.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi PBB, Homs mencatat korban terbesar dengan jumlah kematian melebihi 12,500 orang disusuli Damsyik di mana angkanya hampir mencecah 11,000 nyawa.
Berdasarkan analisis yang dilakukan secara purata, 1,000 rakyat Syria maut setiap bulan pada 2011.
Bagaimanapun, sejak Julai 2012, puratanya meningkat kepada 5,000 sebulan.
#Bashar Al Assad #Navi Pillai #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu #Syria
;