60 hilang 2 bas jatuh sungai akibat tanah runtuh
Agensi
Julai 12, 2024 16:10 MYT
Julai 12, 2024 16:10 MYT
KATHMANDU: Tanah runtuh menghanyutkan dua bas penumpang yang membawa sekurang-kurangnya 60 orang ke dalam sungai yang berarus deras di tengah Nepal awal Jumaat.
Bas-bas itu berada di lebuh raya utama yang menghubungkan ibu negara ke bahagian selatan Nepal apabila ia dihanyutkan sekitar jam 3 pagi berhampiran Simaltal, kira-kira 120 kilometer (75 batu) barat Kathmandu, lapor AP.
Satu bas membawa sekurang-kurangnya 24 orang, manakala satu lagi mempunyai sekurang-kurangnya 42 orang, tetapi lebih ramai mungkin menaiki dalam perjalanan, kata penyelamat.
Tiga mangsa yang terselamat sedang dirawat di hospital, kata pihak berkuasa, sambil menambah bahawa mereka dilaporkan melompat keluar dari bas dan berenang ke tebing, sebelum penduduk tempatan menemui mereka dan membawa mereka ke hospital berdekatan.
Penyelamat belum menemui sebarang kesan bas, yang berkemungkinan tenggelam dan dihanyutkan ke hilir di Sungai Trishuli.
Hujan yang berterusan serta lebih banyak kejadian tanah runtuh menyukarkan usaha menyelamat.
Sungai-sungai Nepal secara keseluruhannya mengalir deras kerana kawasan pergunungan. Hujan lebat akibat musim tengkujuh telah menaikkan paras air dan menyebabkan air keruh dan deras, sekali gus sukar mengesan bangkai bas.