6 warga Malaysia antara 14 suspek didakwa seludup dadah 'ais' di Perth
AFP
Mei 27, 2016 17:44 MYT
Mei 27, 2016 17:44 MYT
Empat belas anggota yang disyaki dari sebuah kumpulan pengedaran dadah antarabangsa, hari ini didakwa di Perth, Australia susulan rampasan dadah jenis metamfetamin atau 'ais' bernilai AUS$200 juta (US$145 juta).
Mereka terdiri dari lapan warga China yang merupakan anak kapal bot nelayan komersial dan enam warga Malaysia.
Pasukan tentera sempadan negara itu sebelum ini telah mengesan bot tersebut di luar pantai barat Australia pada 27 April, tetapi, apabila bot itu digeledah di kawasan perairan beberapa hari kemudian, tiada dadah ditemui di dalamnya.
Walau bagaimanapun, pihak polis berkata soal siasat mereka membawa mereka ke dua buah rumah di Perth, di mana sejumlah150 kilogram kristal metamfetamin, atau 'ais' ditemui dalam salah sebuah rumah dan 50 kilogram lagi ditemui di sebuah lagi rumah.
“Mahkamah akan mendakwa mereka hari ini sebagai sebahagian daripada sindiket jenayah terancang yang membantu pengangkutan dadah dari bot nelayan ke Australia Barat melalui kenderaan air kecil," kata polis.
Polis Persekutuan Australia berkata enam warga Malaysia tersebut adalah berumur di antara 24 hingga 54 tahun dan lapan warga China tersebut adalah berusia antara 37 hingga 56 tahun.
Polis turut berkata mereka telah didakwa atas sebab pengimportan dadah komersial, iaitu suatu kesalahan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.