6 suspek militan ditahan, komplot serangan ke atas Singapura berjaya ditumpas
Agensi
Ogos 5, 2016 18:26 MYT
Ogos 5, 2016 18:26 MYT
Polis Indonesia pada Jumaat menahan enam suspek militan dalam satu komplot untuk melancarkan serangan roket ke atas sebuah pusat peranginan mewah di Singapura.
Singapura mengesahkan maklum tentang rancangan tersebut dan keselamatan dipertingkatkan di negara itu.
Enam lelaki itu berusia di antara 19 dan 46 tahun dan menetap di Pulau Batam, Indonesia yang terletak berhampiran Singapura, kata jurucakap polis Agus Rianto.
Pemimpin kumpulan berkenaan, Gigih Rahmad Dewa dituduh membuat perancangan bersama Bahrun Naim, ketua kumpulan militan Indonesia yang kemudian bergerak bersama kumpulan militan Daish di Syria, tambah Rianto.
Pasangan itu “merancang satu serangan ganas di Singapura. Mereka mahu menyerang Singapura dengan roket dari Batam,” kata jurucakap itu kepada pemberita.
Seorang lagi jurucakap polis, Boy Rafli Amar berkata sasaran mereka adalah Marina Bay. Kawasan ini adalah lokasi kepada Marina Bay Sands, sebuah kompleks mewah termasuk pusat beli-belah, hotel dan kasino.
Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu kenyataan berkata ia "sedar bahawa ada satu komplot oleh enam suspek pengganas yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia" dan bahawa agensi keselamatan telah bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia.
"Sebagai tindak balas kepada ancaman ini dan keadaan keselamatan semasa, polis dan agensi lain telah meningkatkan keselamatan dalam negara dan kawasan sempadan,” katanya.
Indonesia, sebuah negara majoriti penduduk Islam, telah lama bergelut dengan militan dan telah mengalami beberapa serangan dalam 15 tahun lalu, termasuk pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.