6 pekerja bantuan antarabangsa maut dalam serangan udara Israel
Agensi
April 2, 2024 22:49 MYT
April 2, 2024 22:49 MYT
GAZA: Serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya enam pekerja bantuan antarabangsa dan seorang pemandu Palestin.
Kumpulan bantuan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, World Central Kitchen (WCK) pada selasa mengesahkan anggota kakitangannya terbunuh dalam serangan tersebut.
Mangsa yang maut adalah dari Palestin, Australia, Poland, United Kingdom, Serta Warga Amerika-Kanada.
Memetik laporan Al Jazeera, WCK berkata, serangan itu berlaku ketika kakitangannya menghantar makanan ke Gaza, di mana ratusan ribu rakyat Palestin diambang kebuluran akibat serangan Israel.
Susulan serangan berkenaan, WCK memaklumkan pihaknya segera menggantung operasi di rantau itu.
WCK menambah, serangan itu disifatkan sebagai satu kejutan besar kepada usaha-usaha untuk menghantar bantuan melalui laut.
Mayat pekerja bantuan telah dibawa ke sebuah hospital di bandar selatan Rafah di sempadan Mesir.
Manakala, mayat warga asing akan dipindah keluar dari Gaza dan mayat pemandu Palestin akan diserahkan kepada keluarganya di Rafah untuk dikebumikan.
Sementara itu, Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak menggesa Israel supaya segera menyiasat dan memberikan penjelasan susulan pekerja bantuan termasuk warganya terbunuh di Gaza.
Menurutnya, beliau terkejut dan sedih dengan insiden berkenaan dan kerajaan sedang berusaha mengesahkan semua maklumat.
"Saya terkejut dan sedih mendengar kematian pekerja bantuan di Gaza seperti dilaporkan.
"Kami dengan segera sedang bekerja untuk mengesahkan semua butiran, tetapi ingatan saya kini bersama rakan-rakan dan keluarga mereka.
"Mereka sedang melakukan kerja yang hebat, memberi lega kepada penderitaan yang banyak dialami oleh penduduk Gaza, dan mereka patut dipuji serta dihargai atas apa yang mereka lakukan.
"Mereka perlu dibenarkan untuk melakukan kerja itu tanpa halangan, dan adalah tanggungjawab Israel untuk memastikan bahawa mereka dapat melakukan itu, dan kami meminta Israel menyiasat apa yang berlaku dengan segera, kerana jelas terdapat persoalan yang perlu dijawab," jelas beliau.