6 maut, Rwanda berdepan wabak virus Marburg

Bernama
September 28, 2024 07:00 MYT
Sabin Nsanzimana (kiri) pada Sabtu mengadakan taklimat dengan rakan pembangunan dan anggota kor diplomatik mengenai wabak virus Marburg semasa. - X @RwandaHealth
KIGALI: Rwanda mengesahkan enam kematian akibat penyakit virus Marburg (MVD) di tengah-tengah wabak yang telah menjejaskan 26 orang di seluruh negara, lapor Xinhua.
Bercakap pada Sabtu malam dalam siaran di Televisyen Rwanda, Menteri Kesihatan Rwanda Sabin Nsanzimana mendedahkan bahawa mangsa dan kebanyakan yang dijangkiti adalah pekerja kesihatan.
"Enam orang telah meninggal dunia akibat MVD, dan majoriti daripada mereka adalah petugas perubatan," kata Nsanzimana.
Beliau menekankan bahawa Kementerian Kesihatan, dengan kerjasama rakan kongsi berkaitan, sedang berusaha tanpa henti untuk membendung virus maut itu melalui pengesanan kontak dan pengasingan individu yang dijangkiti.
"Kami menggesa rakyat Rwanda untuk kekal berwaspada dan meningkatkan langkah pencegahan dengan memastikan kebersihan, mencuci dengan sabun, sanitasi tangan, dan mengelakkan kontak dengan individu yang dijangkiti," katanya lagi.
Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan menyeru langkah pencegahan dipertingkatkan berikutan kes yang disahkan virus Marburg.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu menggariskan usaha berterusan untuk membendung penularan virus yang telah menyebabkan beberapa pesakit dimasukkan ke hospital.
Pihak berkuasa telah melaksanakan protokol pencegahan yang lebih ketat di semua kemudahan kesihatan, termasuk pengesanan kontak yang teliti, dan pesakit yang dijangkiti telah diasingkan untuk rawatan.
Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa MVD disebarkan melalui kontak langsung dengan darah atau cecair badan individu yang dijangkiti dan bukan melalui udara.
Kementerian itu menasihatkan sesiapa yang mengalami simptom seperti demam panas, sakit kepala yang teruk, muntah, sakit otot, atau sakit perut untuk menghubungi Pusat Bioperubatan Rwanda atau mengunjungi kemudahan kesihatan terdekat.
Sambil memantau situasi dengan teliti, pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk kekal tenang dan meneruskan aktiviti harian seperti biasa.
-- BERNAMA
#rwanda #virus Marburg #Pekerja kesihatan #MVD
;