6 maut, 29 cedera dalam kebakaran di terowong lebuh raya Korea Selatan

Bernama
Disember 29, 2022 17:56 MYT
Kebakaran dilaporkan berlaku pada 1.49 tengah hari waktu tempatan di Lebuhraya Gyeongin Kedua yang menghubungkan bandar pelabuhan barat Incheon dengan Seongnam City. - Gambar/ REUTERS
GWACHEON: Sekurang-kurangnya enam orang terbunuh manakala 29 yang lain cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah terowong di lebuh raya di Gwacheon, selatan Seoul.
Kebakaran dilaporkan berlaku pada 1.49 tengah hari waktu tempatan di Lebuhraya Gyeongin Kedua yang menghubungkan bandar pelabuhan barat Incheon dengan Seongnam City, lapor agensi berita Yonhap memetik pihak bomba.
Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku selepas sebuah bas dan lori bertembung dan api merebak dengan cepat menyebabkan asap tebal.
Pasukan penyelamat menemukan enam mayat termasuk mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu.
Sementara itu , 29 lagi mangsa dilaporkan cedera akibat terhidu asap, termasuk tiga daripadanya mengalami kecederaan serius, menurut pihak berkuasa.
Angka kematian dijangka meningkat.
Sebanyak 77 trak bomba, 190 anggota bomba dan helikopter dikerah ke lokasi kejadian, dan kebakaran berjaya dikawal sekitar jam 3.18 petang, menurut pihak berkuasa.
Punca sebenar kejadian masih disiasat.
-- BERNAMA
#terowong #Korea Selatan #kebakaran terowong #lebuh raya
;