6 cedera, 3 daripadanya parah dalam insiden tembakan di sekolah Oakland
Astro Awani
September 29, 2022 09:30 MYT
September 29, 2022 09:30 MYT
OAKLAND: Sekurang-kurangnya enam orang cedera dalam kejadian tembakan pada Rabu di sebuah kawasan sekolah di California utara, Amerika Syarikat.
Insiden berlaku di Sojourner Truth Independent Study, sebuah tadika alternatif yang terletak di blok sama dengan tiga sekolah lain, lapor The Guardian.
Pasukan paramedik dilihat membawa keluar enam mangsa ke hospital, semuanya dengan luka tembakan.
Polis Oakland Kapten Casey Johnson memaklumkan tiga mangsa berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Highland.
Tiga lagi mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Eden di Castro Valley namun keadaan mereka tidak diketahui setakat ini.
Datuk Bandar Oakland, Libby Schaaf dalam tweetnya memberitahu mangsa yang cedera berusia 18, 19 dan 58 tahun.
Polis memaklumkan sedang memburu suspek, dan tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang terlibat.
Motif kejadian juga sedang disiasat.